Pages

Tuesday, 16 February 2016

PESTA PONGGAL











PESTA PONGAL




Perkataan பொங்கல் (Pongal) adalah ‘masa menuai’ menandakan masa untuk orang Tamil tuai hasil tanaman dan disambut pada permulaan bulan Thai (தை) mengikut kalendar Tamil. Ada juga kelompok yang menganggap Pongal sebagai tarikh tahun baru. Perayaan Pongal biasanya diraikan setiap pertengahan bulan Januari bagi meraikan Uttarayan atau pergerakan matahari menuju ke utara oleh penganut agama Hindu. Perayaan ini disambut selama empat hari berturut-turut dan merupakan acara terbesar selepas sambutan Deepavali dan Thaipusam.
Perayaan Pongal juga dianggap sebagai hari kesyukuran kepada Tuhan kerana memberi rezeki untuk memperoleh makanan dan air yang cukup, tempat tinggal yang sempurna dan keluarga yang bahagia dan juga membantu mengeratkan hubungan kekeluargaan di antara ahli keluarga. Penyediaan juadah berasaskan sayur-sayuran kampung pula mendidik generasi muda mengenali masakan asli nenek moyang mereka.
Di awal pagi, saya dan adik-adik akan mengemas rumah, manakala emak akan menghiasi rumah dengan kolams (hiasan lantai yang diperbuat dari beras yang diwarnakan) di pagi Hari Pongal. Kolams dibuat di depan pintu rumah sebagai tanda selamat dan rahmat supaya isi rumah mendapat kesejahteraan. Seterusnya, bapa akan mengikat tebu dan daun mangga di pintu rumah bagi menceriakan suasana. Upacara mengikat tebu dan daun mangga di pintu adalah upacara turun temurun orang Tamil sejak dulu.
Empat buah dapur kecil turut diletakkan atas kolams. Pada masa yang sama, beberapa buah periuk tembaga dan perak yang dihiasi daun mangga, daun kunyit dan pewarna Kum Kum juga ditempatkan di situ sebelum upacara bermula. 
Hari Pertama – என்றொரு (Bhogi)
‘Bhogi’ ialah hari Dewa Awan dan Hujan bagi menandakan permulaan hari penting dalam kehidupan masyarakat India. Kami akan membersihkan dan menghias rumah dengan corak dan bunga. Sebelum matahari terbit, bapa akan membuat unggun api besar dan dibiarkan membakar sepanjang malam untuk membakar barang-barang lusuh dan lama bagi menyingkirkan anasir-anasir buruk yang datang kepada keluarga kami. 

Hari Kedua – தைப்பொங்கல் (Thai Pongal / Surya Pongal)
Dikenali sebagai Thai Pongal, iaitu hari untuk Suriabhagawan atau Dewa Matahari. Ucapan "Thai Pirandhal Vazhi Pirakkum" (தை பிறந்தால் வழி பிறக்கும்) bererti "permulaan Thai membuka peluang baru" sering diucap dengan perayaan hari Thaipongal. Upacara yang dilakukan ialah memasak beras yang dituai bersama susu lembu sehingga melimpah dari periuk. Perbuatan membiarkan masakan itu melimpah dikenali sebagai Pongal dalam bahasa Tamil. Pongal bermakna ‘melimpah-ruah’ yang menggambarkan hasil tuaian yang banyak. Apabila susu sedang mendidih, kami sekeluarga akan berkumpul di sekitar periuk dan melaungkan ucapan 'Pongal-O-Pongal' sebanyak tiga kali semasa susu mengalir keluar. Upacara ini dilakukan untuk memberi penghormatan kepada Dewa Matahari dan bermulanya hari pertama bulan Thai dalam kalendar Tamil. Belanga, susu, beras, tebu, daun pisang, kelapa serta tujuh jenis sayuran dan rempah ratus seperti lada kering, jintan manis, buah pelaga, jintan putih dan biji sawi adalah antara bahan-bahan wajib untuk hidangan istimewa pada hari perayaan ini.
 
Hari Ketiga – மட்டு (Hari Mattu)
Hari மட்டு (Mattu) adalah hari yang dikhaskan untuk haiwan lembu. Masyarakat kami percaya bahawa lembu ialah binatang suci yang banyak berjasa kepada manusia dimana pengembala sangat berterima kasih kepada ternakan mereka. Mereka juga akan mewarnakan tanduk lembu dan menghiasi dengan pakaian dan topi logam bersinar. Lembu diberi makan Pongal dan loceng diikat di leher.
Hari Keempat – காணும் பொங்கல் (Kaanum Pongal)
Hari terakhir Pongal dikenali sebagai ‘Kaanum Pongal’ iaitu hari istimewa untuk wanita dan hari merapatkan hubungan. Pada hari terakhir, nenek saya akan bangun awal pagi untuk menyapu kunyit dan melumurkan minyak bijan di rambut kepada emak, makcik-makcik serta semua adik-beradik perempuan saya. Selepas mandi minyak bijan, semua perempuan akan menawarkan bebola nasi berwarna kepada burung-burung. Bagi yang sudah berkahwin, mereka akan berdoa untuk keluarga yang sihat. Manakala saya dan adik-adik akan berdoa untuk perkahwinan yang bahagia akan datang. Setelah selesai semua, kami sekeluarga akan memberi penghormatan kepada nenek atau orang-orang yang lebih tua di rumah untuk mendapatkan restu sebelum keluar melawat rumah saudara terdekat serta rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan. Kebiasaannya, kami sekeluarga akan dihidangkan dengan makanan tradisi seperti 'vadaas’, ‘payasam’ (பாயசம்) dan keledek. 
Bersama Auntie Kamala (kiri), Vani (dua dari kanan) dan Suvitra (kanan) semasa menyambut Hari Pongal di kampung tahun lepas.





SUMBER DARI :  RATHNAH KUNALA(1MALAYSIA.com)

No comments:

Post a Comment